Assalamualaikum.. Salam Ukhwah Fillah

Wednesday, December 15, 2010

Akhir Yang Indah

<span> </span>Pejam celik pejam celik, pengajian Qaira Umaira dah hampir tamat. Sekarang dia di tahun akhir. Gadis yang amat sederhana, matanya yang redup serta mempunyai rupa paras yang boleh menyejukkan hati sesiapa yang memandang. Tidak hairanlah kenapa mak (panggilan untuk mak angkat dia) di Tanjung Karang ingin bermenantukan gadis itu. Penginapan selama 2 hari 3 malam di sana cukup mendamaikan. Suasana kampung yang sangat indah.
“Qaira, mak nak tanya sikit boleh?”

Qaira yang sedang ralit melihat keindahan bunga mawar tersentak.

                “Oh, mak, ada apa mak, tanyalah, apa yang Qaira boleh jawab, Qaira jawab,”

                “Mak tengok, Qaira ni, baik budaknya, lemah lembut, hormat orang tua, mak berkenanlah dekat Qaira,”

Qaira jadi pelik, tiba-tiba je mak nak puji dia.

                “Mak,mak, kenapa puji Qaira ni mak, tiba-tiba je, Qaira biasa jelah mak, macam orang lain juga.. mak nak cakap apa dengan Qaira sebenarnya mak, baik mak cerita dengan Qaira, Qaira merajuk kalau mak tak cerita, hehe,”

Walaupun baru kenal dalam masa 2 hari, namun ikatan kasih sayang antara Qaira dengan keluarga Haji Azmi bagaikan sudah terjalin sekian lama. Dia anggap mak macam mak kandungnya yang tinggal di Negeri Jelapang Padi. Qaira sangat rindukan ibu di kampung.

                “Qaira, mak bukan puji Qaira saja-saja, mak puji daripada hati mak yang tulus. Dalam banyak-banyak anak angkat yang mak pernah ambil, mak tengok, Qairalah yang paling baik, ada solehah di wajah Qaira. Kalau tak keberatan, mak nak tanya, Qaira dah berpunya belum?”

Jantung Qaira tersentap mendengarkan pertanyaan mak. Soalan yang tak pernah di duganya keluar dari mulut mak angkatnya, Qaira berkira member  jawapan yang paling sesuai agar tidak mengguris mana-mana hati.

                “Mm.. mak. Sebenarnya, Qaira bukan milik siapa-siapa lagi melainkan milik ibu ayah Qaira. Mak tengok cincin ni, cincin ni tanda Qaira masih milik ibu ayah Qaira. Ni cincin keluarga, bila Qaira dah kahwin nanti, Qaira akan bagi cincin ni dekat adik Qaira pulak. Mak, Qaira masih belajar, sekarang di tahun akhir, tahun yang penting buat Qaira. Sebolehnya, Qaira nak bahagiakan ibu ayah dan  keluarga dengan kejayaan Qaira dulu mak,”

Panjang lebar Qaira cuba buat mak faham tentang situasinya, harap-harap mak faham.

                “Alhamdulillah, bertuah mak ayah Qaira ada anak macam Qaira. Fikirkan keluarga dulu. Mak rasa mak dah tak salah menilai. Namun, andai ada jodoh, mak berhajat sangat nak jadikan Qaira menantu mak. Anak mak  sekarang tengah bekerja sebagai doktor di sebuah hospital  di Kaherah, di Mesir, tapi andai itu jawapan Qaira, mak tak paksa, harap Qaira dapat apa yang Qaira impikan, InsyaAllah.”

Qaira terharu dengan  kata-kata mak. Dia jadi makin rindukan ibunya di kampung.  Esok dah kena bertolak balik kolej, rasa baru semalam rombongan persatuan kaunseling kolej berkunjung ke Homestay Kampung Sg. Sireh di Tanjung Karang, Shah Alam.. InsyaAllah, aku takkan lupakan Kampung Sg. Sireh, tekad Qaira Umaira dalam hati.
…………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………
<span> </span>Desir-desir angin berpuput di telinga Qaira Umaira. Awan meniti di angkasa. Burung burung menari berkicauan. Qaira duduk di pangkin dekat pokok yang agar redup di petang yang hening. Berlatarkan langit Ilahi yang sungguh indah ciptaanNya, ditambah lagi dengan keindahan padi yang memukau. Suasana yang cukup  damai dan tenang tidak mampu mengusir getar di dada. Qaira teringat perbualannya dengan ibu, beberapa hari yang lalu..

                “Umaira, pengajian Umaira dah hampir tamatkan. Tahun ni, tahun akhir Umaira dalam jurusan jururawat kan?”
Ibu Dahlia lebih suka memanggil Qaira dengan nama Umaira, katanya, pipi Qaira kemerah-merahan, tu yang dia panggil nama tu, ditambah pula dengan harapan akhlak Umaira secantik akhlak isteri rasulullah s.a.w, Aisyah Humaira, InsyaAllah.

                “Ha ah ibu. Dah tahun akhir, tak sangka Umaira, rasa semalam je Umaira pergi interview dengan ayah dekat Kuala Lumpur dulu. Kenapa ibu tiba-tiba tanya soalan ni? “

                “Anak ibu dah besar panjang dah sekarang kan, dah nak masuk 23 tahun dah tak lama lagi, ibu ada hajat nak bagitahu Umaira, tapi terpulang pada Umaira nak bagi jawapan apa pun, semuanya ibu ayah setuju,”

Qaira merasakan ibunya akan bertanyakan sesuatu yang serius. Suara ibunya berlainan dari biasa. Ibu biasanya lebih senang begurau dengan anak-anak.

                “Ibu, apa hajat yang ibu nak bagitahu Umaira? Umaira akan jawab sejujur hati Umaira,”

Qaira cuba berlagak biasa, namun dalam hatinya bagaikan ombak badai yang menghempas pantas. Hanya menunggu butir-butir bicara daripada ibu tercinta.

Tiba-tiba, ayah  menapak ke meja makan, tempat dua beranak senang berbual. Ayah lantas duduk sambil minta ibu sediakan air untuk hilangkan dahaga setelah penat bekerja. Kelihatan ibu bermain mata dengan ayah..

                “Idah dah bagitahu Umaira?”

Ibu pantas menggeleng. Ibu bagaikan memohon pengertian ayah untuk menyampaikan berita yang sangat asing dari pengetahuan Qaira.

                “Belum bang, abangla bagitahu Umaira, Idah tak tahu nak susun ayat macamana,”

                “Ish ish ibu kamu ni, macam zaman muda-muda dulu pulak, malu-malu, haha..”

                “Abangla bagitahu, Idah memang tak pandai nak bagitahu,”

Sikap ibu Qaira yang bermain tarik tali dengan ayahnya, menimbulkan seribu satu persoalan dalam diri Qaira.

                “Ibu, ayah, apa sebenarnya yang dah berlaku, Umaira nak dapat adik baru ke?”

Tiba-tiba otak bergeliga Qaira mengeluarkan idea spontan yang tidak berapa bernas,mm..

                “Hish, kamu ni ke situ pulak Umaira, ibu ni dah tua, tak larat dah nak mengandung untuk adik Umaira, kalau Umaira sendiri mengandung, ada anak sendiri, okey juga, dapatlah ibu merasa cucu perempuan pula, cucu lelaki ibu dah ada..”

Ibu tersenyum penuh makna. Qaira kaget. Dia merasakan bahawa jawapan pada persoalannya sudah hampir tiba.

                “Umaira, sebenarnya, 2 hari lepas Lebai Ahmad, datang merisik, dia bertanyakan Umaira, samada dah berpunya ke belum? Dia nak jodohkan dengan anak dia, tu pun kalau Umaira setuju, ibu ayah letak semua keputusan di tangan Umaira.”

Qaira sangat terkejut, baru nak tamat pengajian, pinangan pula yang datang, otak Qaira bagaikan tepu, tak mampu nak berfikir dengan waras. Ucapan ayahnya tadi bagaikan halilintar yang berdentum pada sekeping hati miliknya. Ya Allah, kenapa begitu cepat? Aku masih belum bersedia Ya Allah.. Qaira sangat terkejut dengan berita tersebut..

                “Umaira, kenapa senyap je? Ke Umaira dah ada calon menantu untuk ibu?”

Ibu nampak risau dengan gelagat Umaira yang ceria bertukar senyap seribu bahasa. Tiba – tiba jadi penyenyap bunyi.. Ibunya takut Qaira masih menaruh hati pada seorang pemuda yang pernah diceritakan Qaira dulu.

                “Eh, bukan macam tu ibu, tapi berita yang ayah baru sampaikan buat Umaira terkejut, berita yang sangat mendadak buat diri Umaira ibu, ayah, boleh tak bagi masa dulu buat Umaira untuk berfikir?”
Qaira cuba minta waktu untuk dirinya dalam menilai dan muhasabah dirinya. Ini bukan keputusan yang cincai – cincai, tapi berhubung masa depan, masjid yang bakal terbina, bukan perkara yang boleh dibuat main – main.

                “Baiklah kalau Umaira nak macam tu, fikirlah masak masak ye, anak Lebai Ahmad tu baik orangnya, ayah selalu juga jumpa dia kat masjid waktu dia balik kampung. Umaira fikirlah baik – baik ye, ibu ayah takkan bantah, semuanya di tangan Umaira. Jangan stress pula ye, tumpukan pengajian di tahun akhir dulu ye..”

                “Akak! Oh Akak! Ibu panggil, suruh balik rumah, akak buat ape kat sini?”

Sedar tak sedar hampir setengah jam Qaira berada di tepi sawah sambil mengimbau perbualannya dengan ibu ayah beberapa hari lepas. Nasib baik Hafizi, adiknya yang berumur 6 tahun tu datang ke sawah, kalau tak tak tahu berapa lama lagi dia kat situ.

                “Adik, akak memang dah nak balik ni, jom balik sama-sama dengan akak. Mari akak pimpin tangan Fizi, jom.”

Qaira dan adiknya beriringan balik ke rumah. Sampai di rumah Qaira balik mengemas baki pakaian  yang belum dikemas petang tu. Dia nak naik bas balik universiti dah malam ni.. sedang asyik berkemas, ibunya datang..

                “Umaira.. Umaira ada nak bagitahu ibu apa-apa ke?”

Qaira tak sangka gelisah dihatinya dapat dibaca oleh Puan Faridah, ibunya.. nak cerita tak nak cerita, mm..? cerita je lah..
                “Mmm.. ibu.., sebenarnya, Umaira nak minta persetujuan ibu, tu pun kalau ibu setujula,”

Rasa gugup bersarang di hati Qaira, suaranya bagaikan tersekat sekat di kerongkong  untuk mengeluarkan butir bicara.

                “Apa dia Umaira, bagitahu je ibu, ibu lagi risau tengok anak ibu ni bermuram, baik Umaira suarakan apa yang ada di hati Umaira, luahkan,”

Suara ibu yang rendah dan berhemat itu telah menenangkan hati Qaira. Ibunya berkata sambil mengelus rambut Qaira yang lurus dan panjang tu. Dia suka tengok rambut Qaira yang lepas bebas melepasi bahu Qaira..Cantik sungguh rambut Qaira di sebalik tudung yang sentiasa menutupi mahkotanya. Alhamdulillah.. anaknya tahu menjaga batas-batas auratnya.

                “Ibu, pasal pinangan dari Lebai Ahmad tempoh hari, boleh tak ibu minta dia tangguhkan jawapan dulu? Kalau boleh Umaira nak habiskan pengajian Umaira dulu, sampai keluar keputusan pengajian Qaira dulu, boleh tak ibu?”

Ibu berhenti dari mengelus rambut Qaira..

                “La, pasal ni ke yang risaukan hati puteri ibu ni? Kalau pasal tu tak payah risaula, ibu tahula nak bagitahu macamana, yang penting sekarang, Umaira fokus pasal pelajaran Umaira dulu k, yang lain –lain tak payah risau ye,”

Qaira sangat gembira dengan jawapan ibu.

                “Terima kasih ibu, Umaira sayang sangat kat ibu,”

Qaira memeluk ibunya dengan erat sambil mencium pipi ibunya. Terima kasih ibu..

………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………….
<span> </span>Selang beberapa minggu kemudian, Qaira semakin sibuk dengan pengajiannya, peperiksaan akhir semakin menjelang tiba. Suatu hari, sewaktu menelaah pelajaran di bilik kolej pada hujung minggu yang hening, Qaira ditanya dengan persoalan yang agak peribadi oleh sahabat karibnya iaitu Fatin Batrisya.

                “Qaira, sepanjang kita kenal dekat 4 tahun di universiti kan, saya tak pernah dengar awak sebut pasal lelaki, ramai yang nak ‘tackle’ awak, tapi awak tak layan, awak dah ada seseorang yang istimewa ke atau awak memang tak nak layan diorang ke macamane?”

                “Amboi amboi, kenapa nak tahu ni, mana boleh tahu, rahsiala, hehe”

Qaira cuba bermain tarik tali dengan Batrisya. Dia sebenarnya agak terkejut dengan pertanyaan sahabatnya itu. Tentang pinangan dari keluarga Haji Ahmad tak de seorang pun kawannya yang tahu, mungkin Batrisya orang yang pertama yang akan tahu..

                “Ala Qaira, bolehla, sebenarnya, saya nak tahu sangat pasal perasaan dan hati awak tu, dan satu lagi, saya dapat rasakan yang Encik Iman Hakim, ‘trainer’ kita tu, ada hati kat awakla, saya rasala, mungkin lepas belajar nanti dia akan masuk meminang awak kut, hehe,”

Batrisya, kalau bab bab firasat ni, bolehlah bagi kat dia, ada juga yang bernas, tapi kadang kadang melangkau alam realiti yang sebenar.

                “Ish Batrisya ni, ke situ pulak awak ye, imaginasi saya pun tak terjangkau dek pemikiran awak tu, mana ada Encik Iman Hakim nak kat saya, biasala, sebagai ‘trainer’ kita, dia cuba ambil berat tentang kebajikan anak anak buahnya, tambah pula kita berusaha untuk membantu orang sakit, melibatkan nyawa orang. Saya takut untuk menghadapi cinta sebelum kahwin, takut pada kepalsuan dan godaan syaitan dan yang paling penting, saya takut pada azab Allah, yang halal tetap akan halal dan yang haram tetap akan haram Batrisya,”

Panjang lebar butir bicara Qaira, sejujurnya, hatinya bergetar bila Batrisya menyebut nama Iman Hakim. Insan yang sangat patuh pada ajaranNya, berusaha dengan setulusnya untuk membantu mengubati orang yang sakit dalam waktu yang sama membantu  golongan muda yang bermasalah dengan hal ehwal agama. Dia sangat pentingkan kecintaan pada Allah. Rupa parasnya juga menarik, bisa menyejukkan mana mana hati yang melihatnya. Walau diberikan dengan pelbagai nikmat, Iman Hakim tidak pernah alpa. Dia sentiasa mensyukuri nikmat Allah dengan menggunakan nikmat yang diperoleh ke jalanNya yang diredhai.

                “Betul apa yang awak bagitahu tu Qaira, maknanya sampai sekarang, hati awak ni masih belum diisi oleh mana mana insan bernama Adam la ek?”

Masih cuba mengorek rahsia. Qaira menggeleng kepalanya..

                “Belum, tapi, sebenarnya, keluarga saya dapat pinangan dari keluarga Lebai Ahmad, Imam di kampung kami, tapi, saya minta ibu ayah saya tangguhkan jawapannya, saya nak habiskan pengajian akhir saya dulu, barulah dapat beri jawapan,”

Kelihatan Batrisya bagaikan terkejut dengan apa yang baru diperkatakan oleh Qaira.

                “La Qaira, awak biar betul, tak pernah cerita pun kat saya, mm, dia ‘handsome’ tak, baik tak, mana lagi ‘handsome’ antara dia dengan Iman Hakim?”

Batrisya Batrisya, tak habis habis nak dibandingkan dengan Iman Hakim. Qaira hanya menggeleng kepala..

                “La, tak handsome ke bakal suami awak Qaira? Ke dia tak baik?”

                “Bukan macam tu la Batrisya, sebenarnya, saya tak pernah kenal dengan anak Lebai Ahmad tu, dia tua 3 tahun dari saya, mungkin abang saya kenal dia kut, tapi saya memang tak kenal, nama dia pun saya lupa nak tanya ibu saya hari tu,tapi besar harapan ibu ayah saya nak jodohkan kami berdua,”

                “Oh, macam tu, habis, awak setuju je macam tu, walaupun tak pernah kenal pun dia tu siapa? Perangai dia macamana? Baik ke? Ke macamana? Ish, saya tak sangkala, zaman serba moden sekarang, ada juga yang terima jodoh yang diatur keluarga macam awak ni, awak dah pikir masak-masak ke Qaira?”

Qaira kelihatan tenang sambil tersenyum..

                “Batrisya, ibu ayah saya tak pernah paksa saya, semua keputusan terletak di tangan saya, lagipun, kami bukan nikah sekarang, saya masih fikirkan kkeputusan saya. Sebenarnya dulu, saya ada jatuh hati kat seseorang waktu sekolah menengah dulu, tapi ‘senior’ saya tak pernah tahu pun tentang kewujudan dan perasaan saya, saya simpan dalam hati sampai sekarang. Pelik kan, waktu tu saya umur 13 tahun, sampai sekarang saya masih simpan dia di hati saya. Namun saya tahu, mengharap sesuatu yang tidak pasti, bagaikan menanti bulan jatuh ke ribakan. Hampir 8 tahun selepas senior tu menamatkan pelajaran, saya tak tahu dia kat mana sekarang. Pengetahuan saya tentang dia pun hampir zero. Yang saya tahu, sebaris namanya sahaja, abang Saiful Azzam. Mana mungkin saya dapat menjejaki diakan.”

Panjang lebar Qaira bercerita kepada sahabat baiknya, rahsia itu tersimpaul kemas dalam hatinya selama ini. Batrisyalah orang pertama mengetahui tentang rahsia hati Qaira Umaira selain ibunya. Batrisya bagaikan terpana dengan kata-kata Qaira. Mulutnya terlopong sambil matanya yang dah setia bulat makin dibulatkan.

                “Qaira, saya bagaikan tak percaya. Setianya awak, tunggu orang yang tak pasti selama 8 tahun. Walaupun sekadar cinta monyet, kesiannya awak. Patutla awak tak pernah nak layan mana-mana lelaki yang cuba ‘tackle’ awak. Hati awak dah dimiliki. Mesti dia jauh lebih hebat dari Iman Hakim kan sampai awak sanggup tolak dia.”

“Entahlah Qaira, sekali saya sayang, sukar saya nak hapuskan perasaan tu, namun, saya rasa saya perlu buang perasaan ini sedikit demi sedikit. Mana mungkin saya curang pada bakal suami. Doakan saya Batrisya untuk melupakan insan yang pernah hadir dalam hidup ini,”

“InsyaAllah, saya doakan yang terbaik untuk awak, nanti kalau dah jadi, jangan lupa bagitahu saya pulak ye.”

“Ok, awak kan sahabat saya yang paling saya sayang, takkan saya nak lupa pulak”

“Ish, dah lama sangat kita borak ni, jom sambung belajar balik, hehe,”

Qaira dan Batrisya sambung semula pelajaran yang telah tergendala tadi.
…………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………
<span> </span>Selang beberapa bulan, Qaira sudah tamat pelajarannya di Universiti Kebangsaan Malaya, (UKM), dia lulus dengan cemerlang dan mendapat tawaran bekerja di Hospital Universiti Kebangsaan Malaya. (HUKM). Akhirnya, ada juga ahli keluarganya jadi jururawat, 3 kakaknya semua jadi guru. Suatu hari, sewaktu di kampung, dia mendapat warkah dari keluarga angkatnya di Tanjung Karang.

Assalamualaikum,
Kehadapan akak Qaira Umaira yang dikasihi, ni Hafizah yang tulis surat, anak mak yang belajar di UITM Shah Alam, terlebih dulu, mak abah kirim salam dekat akak. Mak rindu sangat dekat akak. Bila akak nak datang sini lagi?
Kehadiran akak dalam keluarga kami, menceriakan hati mak yang dah lama kering. Sebenarnya, 5 tahun lepas, Fizah kehilangan kakak, Kak Ngah, dia kemalangan, sejak tu, mak selalu teringatkan arwah. Sejak akak datang ke rumah kami, mak sayang sangat dekat akak. Akak bagaikan sinar baru dalam hidup mak. Diri arwah ada dalam diri akak. Wajah akak pun mirip dengan arwah kak Ngah. Dan kalau arwah masih ada, dia sebaya dengan akak.
Walaupun kita tak pernah berjumpa, tapi melalui gambar yang ditunjukkan mak, Fizah dah tahu yang akak ni baik, macam arwah juga. Mak sayang sangat dekat akak. Besar harapan mak nak menantukan akak. Namun andai akak sudah ada yang punya, mak tak paksa, namun, anggaplah kami sekeluarga macam keluarga kandung akak sendiri, ok lah kak,sampai di sini je surat dari Fizah sekeluarga, harap akak bahagia di samping keluarga, amin.
Akhir kata, sampaikan salam Fizah sekeluarga buat kakak sekeluarga, assalamualaikum.

Qaira termenung membaca warkah tersebut. Patutlah mak sayang sangat dekat dia. Rupanya, Qaira macam arwah anak dia. Kesiannya dekat mak. Qaira buntu dalam membuat keputusan. Qaira kena bagitahu ibu ni.

                “Ibu, ibu ingat lagi tak keluarga angkat Umaira yang tinggal dekat Tanjung Karang ?”

Qaira menyuakan surat yang baru dibacanya kepada ibu. Ibu turut membacanya.

                “Oh macam tu ceritanya, Umaira rasa macamana,kita tak bagi lagi jawapan kepada Lebai Ahmad. Semua di tangan Umaira, ibu ayah tak paksa Umaira terima pinangan dari anak Lebai Ahmad,”

                “Entahlah ibu, Umaira buntula ibu. Tak tahu nak buat keputusan,”

                “Kalau macam tu, Umaira buatla solat Istikharah. Minta petunjukNya. InsyaAllah tuhan akan tunjukkkan jalan yang harus dipilih Umaira k,”

                “InsyaAllah ibu, ibu, boleh tak Umaira nak tengok gambar anak Lebai Ahmad. Nama dia apa ek ibu, dah lupa dah dulu,”

                “Ish ish, nama pun tak ingat, nama dia Nazmi Hairi, nak tengok gambar dia, sekejap ibu ambilkan.”

Ibu membuka almari di bilik Umaira, rupanya ibu dah letakkan gambar dia dalam bilik Qaira, Cuma dia je tak perasan selam ini. Qaira menepuk dahinya sambil tersengih.

                “Oh, nilah orangnya, baiklah ibu, nanti lepas Umaira buat solat hajat, Istikharah, bila Allah dah bukakan pintu hati baru Umaira buat keputusan dan bagitahu ibu dan ayah k, sayang ibu sangat sangat. Terima kasih ibu,”
………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………….
<span> </span>Pada malam yang hening, Umaira bangun solat malam, bertahajud, menunaikan solat sunat termasuklah solat Istikharah. Sudah beberapa malam dia lakukan namun, masih belum mendapat petunjuk. Namun, dia tak pernah putus asa, malam ini malam Jumaat, malam penuh barakah, penghulu segala hari, dia bermohon, bermunajat kepadaNya, berdialog dengan Yang Maha Esa.

“Oh Tuhan,andai telah Kau catatkan dia milikku, tercipta untuk dirikusatukanlah hatinya dengan hatiku,titipkanlah kebahagiaan buat kami.Ya Allah, ku mohon apa yang telah Kau takdirkan, kuharap dia adalah yang terbaik buatku kerana Engkau tahu segala isi hatiku,peliharalah daku dari kemurkaanMu Ya Allah. Ya Tuhan Yang Maha Pemurah, berikanlah aku kekuatan dan harapan, agar aku biasa kuat Ya Allah, Kau semaikanlah setulus kasih di hati ini agar aku dapat melayar bahtera ke muara cinta yang Engkau redhai. Ya Allah, hati ini milikMu,Kau tunjukkanlah aku seorang pemuda yang soleh yang dapat membimbingku ke jalan yang Kau redhai. Labuhkanlah cintaku kepada insan yang melabuhkan cintanya untukMu. Kuinginkan kebahagiaan di dunia dan akhirat bersama pemilik rusuk kiriku Ya Allah. PadaMu kumohon segalanya Ya Allah. Berikanlah petunjuk dan hidayah kepadaku Ya Allah.”

Usai mengelap mutiara jernih di wajahnya, Qaira mengambil keputusan untuk tidur sekejap sebelum tunggu solat subuh. Pada malam tersebut dia bermimpi. Kakinya tersepit, dia ingin meminta tolong. Tiba-tiba dia Nampak ada 3 pemuda di depannya. Ada Nazmi Hairi, Iman Hakim dan seseorang lagi, dia tak berapa cam, tapi wajah pemuda tu macam pernah dikenalinya. Qaira menjerit meminta tolong, minta sesiapa boleh keluarkan kakinya yang tersepit, dia menjerit, namun Nazmi Hairi dan Iman Hakim hanya melihat tanpa berbuat apa-apa. Sewaktu Qaira hampir berputus asa, tiba tiba pemuda yang seorang lagi datang menolongnya, melepaskan kakinya yang tersepit. Sewaktu Qaira mengangkat muka untuk mengucapkan terima kasih kepada pemuda itu, pemuda itu sudah berlalu, dia hanya melepaskan senyuman apabila dia sudah berada jauh di hadapan, Qaira cuba memanggil pemuda tersebut.

“Awak! Awak ! terima kasih sebab selamatkan saya, awak!”

Tiba tiba Qaira tersedar ke alam realiti. Dia beristighfar panjang mengingatkan mimpi yang baru dialaminya sebentar tadi.

                “Astaghfirullahal A’zim, Ya Allah, apakah maksud mimpiMu ini. Adakah itu pemuda yang diciptakan buatku Ya Allah? Bukan Nazmi Hairi ataupun Iman Hakim. Siapakah pemuda itu Ya Allah?”

Tiba tiba Qaira baru teringat yang dia tak pernah melihat anak lelaki mak yang bekerja di Kaherah, Mesir.

                “Ya Allah, andai ini yang Kau takdirkan buatku, aku redha dan pasrah Ya Allah. Aku bersyukur dengan rahmat yang Kau berikan padaku ini Ya Allah, terima kasih atas petunjukMu Ya Allah.”

Alhamdulillah, hati Qaira kuat mengatakan yang jodohnya dengan anak mak, semoga hatinya tidak salah menilai. Esok dia akan beri keputusan untuk ibu dan ayahnya esok.
…………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………
<span> </span>Selesai sarapan pagi, tinggal Qaira dan ibu ayah sahaja di meja makan di dapur. Kelihatan ayah dan ibu ingin memberitahu sesuatu untuk Qaira. Qaira berkira kira ingin memberitahu tentang keputusan hatinya buat ibu ayah.

                “Ibu, ayah, kenapa Umaira rasa macam ibu ayah nak beritahu Qaira sesuatu je?”

Ibu ayah berpandangan sesama sendiri, ayah mengangguk pada ibu.

                “Umaira, sebenarnya semalam, Lebai Ahmad ada jumpa ayah dekat masjid semalam. Dia nak batalkan hasrat dia untuk meminang Umaira untuk anak dia. Dia minta maaf sebab anak dia dah ada pilihan hati. Dia minta maaf sebab bagi harapan tapi akhirnya dia yang terpaksa batalkan hasratnya. Dia minta maaf dengan Umaira,”

                “Oh pasal tu ke ibu, ayah. Alhamdulillah, sebenarnya, Umaira dah buat keputusan nak terima anak mak dekat Tanjung Karang, eloklah kalau Lebai Ahmad dah buat keputusan macam tu, tak delah Umaira rasa bersalah sangat dengan keluarga Lebai Ahmad kan ibu, ayah,”

                “Alhamdulillah, ibu ayah doakan agar Umaira dah buat keputusan yang terbaik buat diri Umaira. Ibu doakan yang terbaik buat anak ibu,”

Ibu merangkul Umaira dalam pelukannya. Ayah tersenyum dengan gelagat dua beranak tersebut.

                “Hai, takkan ibu je, ayah tak nak peluk?”

                “Ayah ni, Umaira pun sayang ayah juga,”

Tiga beranak ketawa bahagia.. Alhamdulillah, segalanya dipermudahkan olehNya, terima kasih Ya Allah.
…………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………
<span> </span>Hari pertunangan dan perkahwinan menjelang tiba. Baru Qaira perasan yang selama ini dia tak pernah pun tengok gambar dengan siapa dia bakal kahwin. Majlis bertunang dan berkahwin diadakan serentak, hanya selang beberapa minit. Sewaktu disolek oleh mak andam, Qaira cuba mencari ibu, minta-mintala ibu boleh tunjukkan Qaira gambar bakal suami Qaira. Namun, nampaknya, kelibat ibunya tidak kelihatan. Mungkin sibuk bersama saudara mara yang datang merewang.

                “Oh sahabatku, Qaira, lamanya tak jumpa awak, Subhanallah, ni Qaira Umaira ke? Wah, cantiknya awak. Dengan mata awak, dengan pipi awak yang kemerah merahan ni, memang beruntungnya bakal suami awak dapat isteri cantik macam awak. Nazmi Hairi kan bakal suami awak?”

Batrisya terpesona dengan kecantikan Qaira, dengan matanya yang indah disolek, menyerlahkan lagi kecantikannya, ditambah dengan sepasang baju kebaya labuh muslimah yang dihiasi dengan labuci yang cukup indah.
Qaira cepat-cepat tutup mulut Fatin Batrisya, takut didengar orang lain. Batrisya terpinga-pinga minta penjelasan dari Qaira.
                “Bukan, bukan dengan Nazmi Hairi, tapi dengan Mohammad, anak mak yang tinggal kat tanjung Karang dulu. Maafla, saya tak sempat nak bercerita panjang dengan awak, nanti ada masa saya cerita k,”

                “oh, tak de masalahla, tak kisahlah awak kahwin dengan siapa pun, saya doakan awak bahagia dengan suami awak hingga ke akhir hayat, insyaAllah, amin,”

                “Terima kasih Batrisya, sebab faham saya,”

                “Pengantin perempuan, sila bersedia ya, kejap lagi ibu pengantin lelaki nak masuk sarung cincin,”

Qaira makin gugup, Ya Allah, berikanku kekuatan. Qaira cuba memaniskan muka seboleh mungkin. Agar kegelisahan dapat dikaburi dengan senyumannya.

                “Manisnya menantu mak, terima kasih Qaira sebab sudi jadi menantu mak,”

Selepas sahaja mencium tangan mak, Qaira dibawa ke ruang tamu untuk majlis akad nikah, kelihatan ramai saudara mara kedua dua belah pengantin di ruang tamu ingin bersama meraikan mempelai yang sama cantik, sama padan. Qaira malu untuk mengangkat mukanya, Batrisya di sebelah, menggenggam tangan Qaira dengan erat untuk memberi kekuatan pada sahabatnya. Ibunya disebelah turut memaniskan muka untuk hilangkan kegusaran di hati Qaira. Baca doa banyak bayak, sempat ibu berbisik pada telinga Qaira.

                “Saya terima nikahnya, Nur Qaira Umaira binti Mohd Azlan dengan mas kahwinnya, Rm80 tunai”

                “Sah, sah, Alhamdulillah,”

Saat itu air mata Qaira yang sedia bergenang, mengalir, dengan sekali lafaz dia sah bergelar isteri kepada Mohammad. Untuk upacara pembatalan air sembahyang, si suami bergerak ke belakang sambil membawa sebentuk cincin. Sewaktu Qaira mengangkat muka, dia sangat sangat terkejut.

                “Ya Allah, inikah suamiku, Subhanallah, Mahasuci Allah, Allahu Akbar,” Qaira sempat bermonolog dalam hati. Rupa-rupanya, suaminya bernama Mohammad Saiful Azzam, ternyata, lelaki yang dicintai selama ini merupakan anak mak yang sedang bekerja di Hospital Kaherah, Mesir.

                “Qaira, hulurkan tangan awak, orang semua tengah tengok awak ni,”

Akibat terlalu asyik melihat si suami, Qaira hampir lupa untuk mnghulurkan tangannya untuk majlis pembatalan air sembahyang.Selepas berakhir majlis menyarungkan cincin, dahi Qaira dikucup oleh Mohammad Saiful Azzam.

                “Qaira dah makin cantik sekarang, dah makin cantik dari 8 tahun yang lalu, abang cintakan Qaira dari dulu lagi, terima kasih sebab sudi jadi isteri abang.”

 Qaira jadi terlalu gembira. Tidak disangka, abang Saiful Azzam mengetahui tentang kewujudannya dan rupanya dia tidak bertepuk sebelah tangan. Semua gembira melihat dia bahagia terutamanya ibu dan ayah. Qaira sempat berbisik pada ibu dan Batrisya.

                “Ibu, Batrisya, nilah abang Saiful Azzam yang pernah Umaira ceritakan dulu, yang Qaira tak pernah jumpa hampir 8 tahun lalu, dia suami Umaira, lelaki yang amat Umaira cintai dari dulu lagi,”

                “Subhanallah, Umaira, tuhan permudahkan segala urusan Umaira, syukurlah nak,”

                “Tahniah Umaira, tak sangka, awak dapat jumpa juga dengan ‘secret admirer’ awak, dah jadi suami awak pula tu, apa-apa pun saya doakan awak bahagia, Alhamdulillah, penantian awak selama ini tidak sia-sia,”

                “Terima kasih ibu, Batrisya, terima kasih sebab sentiasa doakan Umaira, Umaira sayang sangat dekat ibu,”

Qaira berpelukan dengan ibu dan Batrisya, air mata yang tertahan sejak tadi mengalir laju, air mata kegembiraan, terima kasih Ya Allah. Akhir yang cukup indah buat Nur Qaira Umaira.

Nukilan : Wan Norazizah Binti Wan Sulaiman





Epilog Noda Semalam

Epilog Noda Semalam - Kemanisan taubat

Aku berteleku mengingatkan dosa-dosa semalam.. Rentetan terlalu obses dalam mengejar syurga dunia, aku terhanyut dek arus kealpaan yang telah menukarkan peribadiku. Nilai sopan santun, budaya muslimah serta didikan agama yang dicurahkan oleh kedua ibu bapaku sudah tiada dalam kamus hidupku. Aku tidak pandai menjaga pergaulanku dengan kaum Adam. 2 tahun lepas aku seorang penuntut universiti awam terkemuka di Kuala Lumpur. Oleh kerana berasal dari kampung, aku bagaikan terkena kejutan budaya apabila melihat segala yang aku inginkan mudah diperoleh.

Kisah hidupku berubah sejak aku mengenali Rizal. Dia mendekatiku dengan peribadi yang kononnya alim, sekadar ingin buat aku tertarik padanya. Betapa lemahnya aku pada waktu itu kerana terjerat oleh cinta lelaki yang hanya mahukan diriku dan saling bertanding dengan kawannya untuk mendapatkanku. Walhal aku seorang yang sangat berhati-hati dalam memilih pasanganku.

Perkenalanku dengannya bermula apabila dia menulis nota ringkas untuk mengenaliku dengan lebih dekat. Dia juga sanggup menunggu sehingga aku habis belajar. Pada mulanya aku tidak layan namun hati yang degil tidak dapat menidakkan kehadirannya yang sedikit sebanyak memberi getar di hati ini. Tanpa aku sedari juga, dia turut mendapat nombor telefonku daripada sahabatku yang memudahkan laluannya. Aku yang tidak pernah mengenal cinta kaum Adam tertarik padanya buat pertama kali dalam hidupku. Dahulu aku sangat tidak suka orang yang bercouple, namun bila terkena batang hidung sendiri, barulah aku tahu betapa hebatnya dugaan dan hasutan syaitan yang inginkan kami terus-terusan berbuat maksiat.

Masa berlalu dengan pantas, perkenalan yang pada mulanya berasaskan isu Islam, semakin hari semakin melencong kearah maksiat. Di samping menceritakan agama, tanpa aku sedar, dia turut menggunakan agama sebagai wadah untuk menjeratku. Betapa kerdilnya aku waktu itu kerana tidak dapat membezakan yang hak dan yang batil. Bermula keluar bersama rakan, kami akhirnya berani keluar berdua-duan. Subhanallah, betapa hinanya aku di sisi Allah pada waktu itu.

Sehinggalah pada suatu hari, Rizal dengan beraninya menyatakan perasaannya padaku,

“Lia, abang sangat sayangkan Lia, abang tak sanggup kehilangan Lia, boleh tak kita bertunang dulu, nanti semua orang tahu yang Lia milik abang seorang, bolehkan Lia?”

Aku terkejut mendengar bicara dari Rizal, mana janjinya yang sanggup tunggu aku sehingga aku habis belajar. Aku tahu mak ayahku takkan setuju. Abang dan kakakku turut akan membantah. Aku cuba memujuk Rizal agar tidak meneruskan niatnya.

“Abang, bukan Lia tak nak, tapi abang tahukan keluarga Lia, mereka nak Lia menggenggam ijazah terlebih dahulu sebelum Lia berkahwin. Sementelah, mereka tak pernah tahu tentang kewujudan abang dalam hidup Lia,”

Aku berasa sangat berdosa kerana merahsiakan segalanya daripada pengetahuan ibu bapaku. Setiap kali balik cuti semester, aku dianggap gadis yang sangat menjaga pergaulanku dengan kaum Adam sedangkan tanpa pengetahuan mereka aku selalu keluar dengan Rizal. Mak, ayah, ampunkan anakmu ini.

Masa terus berlalu. Makin hari aku semakin hanyut dengan kebahagiaan dunia. Tanpa aku sedari, Rizal mengambil kesempatan ke atas diriku. Sedikit demi sedikit aku mula rasa gembira kerana terasa disayangi, walhal tiada cinta yang sejati pun dalam hati Rizal buat diri ini. Aku mula mengabaikan pelajaranku, mula menjauhkan diri dari rakan-rakan yang menasihatiku dan mula membuat perkara yang bertentangan agama.

Tanganku dibiarkan berada dalam genggaman lelaki yang tidak halal buatku. Pada mula-mula aku mengelak namun dek kerana hanyut dan alpa dengan cinta palsu, aku mula tidak mahu berpisah dengannya. Kami sama-sama menyulam cinta haram yang terasa indah di dunia. Aku nekad untuk terus berada di samping Rizal dan ingin menyatakan niatku untuk bertunang dengan Rizal pada cuti semester kali ini.

“Mak, Lia nak cakap dengan mak sikit boleh tak?”

“Ada apa Lia, mak tengok kau dah banyak berubah sejak balik ni, kau selalu bergayut dengan telefon, sampai jarang dah nak tolong mak kat dapur ni,”

Aku tersentap dengan teguran mak. Aku selalu nak tolong mak kat dapur tapi sayang nak lepas mesej dengan Rizal. Kalau aku lambat balas, dia mesti merajuk, betapa bodohnya aku pada waktu itu kerana mendahulukan Rizal berbanding kedua ibu bapaku.

“Mak, Lia dah ada pilihan hati Lia, dia nak masuk meminang Lia, waktu cuti ni,”

Dalam takut aku gagahkan diri menyatakan niat di hati tanpa menelaah hati ibuku yang mungkin terguris dengan tindakanku. Ibuku sangat terkejut..

“Praaaaaaaaaaaag!”

Berkecai pinggan kaca yang makku pegang. Muka makku berubah dan sangat terkejut dengan permintaanku.

“Lia, kau sedar tak apa yang kau cakap ni, kau baru sangat kat Kuala Lumpur tu, mak hantar kamu suruh belajar, bukannya cari lelaki kat sana. Kenapa tak sabar sangat ni, Lia yang mak kenal dulu tak suka bergaul dengan lelaki,”

“Mak, Lia sayangkan dia mak, Lia tak sanggup kehilangan dia,tolonglah mak, tolong beritahu ayah,”

“Ya Allah, Lia, kau sedar tak apa yang kau cakap ni nak, kalau kau bertunang sekarang, macam mana dengan pelajaran kau? Kak Ngah dan Abang Cik pun tak kahwin lagi walaupun dah kerja. Kamu yang masih belajar ni, dah tak sabar-sabar nak berlaki. Kau cubalah cakap sendiri dengan ayah, mak tak sanggup.”

Batu besar bagaikan menghempap di bahuku. Pastinya ayahku tidak setuju sedangkan ibuku sendiri membantah. Aku mula memikirkan cara untuk memujuk ibuku. Malam itu juga aku berbincang dengan Rizal.

<Abang, Lia rasa mak ayah Lia tak setuju dengan cadangan kita nak bertunang, macam mana ek?>

Tut..tut.. cepat saja Rizal membalas mesejku.

<Lia sayang abang tak? Lia cubalah pujuk lagi>

<Ayah Lia tu garang sikitlah bang. Lia takut, mak Lia pun dah bantah.>

<Lia kena berani atau Lia sanggup kehilangan abang?>

Rizal cuba bermain kata denganku. Dia sedaya upaya memujukku agar menjadi anak yang derhaka pada ibu bapa. Itukah yang diajar Islam dalam memilih calon suami? Namun aku lemah tersungkur pada perasaan sendiri yang tidak mampu memperjuangkan yang hak berbanding batil.

<Baiklah, Lia cuba lagi,>

Keesokannya, aku cuba utarakan lagi niatku pada ibu. Namun, di luar pengetahuanku, ayah terdengar perbualan kami, ayah sangat terkejut dengan permintaanku. Wajahnya bertukar merah.

“Apa yang Lia cakap ni, ni ke yang Lia dapat lepas ayah dengan mak hantar Lia dekat Kuala Lumpur tu? Lia tak pernah rapat dengan mana-mana laki, sejak jauh dengan mak ayah, Lia dah jadi macam ni, kenapa Lia?”

Aku gugup untuk meluahkan kata-kata. Namun kugagahkan diri untuk meluahkan demi kasih dan cintaku yang tidak bertepi buat Rizal.

“Ayah, Rizal budak baik ayah, dia dah lama kenal Lia, kami sama-sama sayang dan Lia tak boleh kehilangan dia,”

“Lia! Kenapa kau dah banyak berubah ni. Lia tak pernah membantah cakap ayah sebelum ni. Sejak kenal dengan lelaki tu, dah mula pandai bela dia ye,”

Mak cuba menenangkan ayah yang sudah mula naik angin denganku.

“Ayah, Lia sayangkan dia sangat-sangat, tolonglah setuju ayah. Lia nak restu daripada mak ayah je.”

Paaaaaang! Satu tamparan mengenai pipiku. Pertama kali dalam hidupku dapat tamparan dari ayahku. Aku benar-benar telah menguji kesabarannya.Aku terus berlalu meninggalkan ayah dan ibuku. Aku menangis tersedu-sedu sambil mengadu pada Rizal di dalam bilik.

“Lia, jangan menangis sayang, kalau sayangkan abang jangan menangis ye, abang taknak dengar Lia menangis lagi,”

“Habis Lia nak buat macam mana bang, mak ayah tak setuju dengan pertunangan kita,”

“Lia sayangkan abangkan, dengar cakap abang baik-baik k,”

“Apa dia bang,”

“Lia tak nak kehilangan abang kan, Lia kemas barang Lia malam ni, abang datang ambik Lia malam ni, Lia keluar dari rumah tu, Lia taknak kehilangan abang kan,”

Aku terkejut dengan permintaan Rizal. Subhanallah, aku berdepan dengan pilihan samada untuk memilih ibu bapa atau Rizal. Gerak hatiku ingin memilih mak ayah, namun hasutan syaitan lebih dahsyat, aku hanya mengiakan sahaja kerana terlalu ikutkan darah muda. Tanpa memikirkan hati mak ayah yang mungkin terguris dengan tindakanku, aku nekad mengemas barang untuk keluar rumah malam tu juga.
Dalam keadaan terhenjut-henjut aku cuba keluar dari bilik yang sejak tadi aku kunci. Namun, dengan kuasa Allah, aku terserempak dengan mak di muka pintu dapur sewaktu mak baru sahaja ambil wudhu’ untuk sembahyang.

“Lia, Lia nak pergi mana ni dengan beg ni, tengah-tengah malam ni, Lia nak tinggalkan mak ayah ke? Lia sedar tak apa yang Lia buat sekarang ni?”

Aku tersentap mendengar bicara emak. Pada waktu itu aku sangat buta dalam menilai kasih sayang mak dan ayah yang telah banyak berkorban buat aku selama ini. Mak menangis mengenangkan tindakan aku, mak merayu agar aku tidak meninggalkan rumah pada malam tu.

“Lia, tolonglah jangan tinggalkan mak Lia, mak sayang sangat kat Lia, jangan buat mak dengan ayah macam ni nak,”

Mak menangis tersedu sedan. Ayah yang sedang tidur terjaga mendengar tangisan emak, aku lantas bergegas keluar dari rumah agar tidak terserempak dengan ayah. Cinta yang terlalu agung buat Rizal telah membutakan hatiku dalam menilai kaca dan permata.
Sedang aku berlari keluar dari rumah dengan dikejar oleh mak ayah, tanpa aku sedar, ada kereta yang laju dari arah bertentangan, kereta itu tidak sempat brek lalu mengenai batang tubuhku..

Dumm….!

Aku terdengar dentuman kuat lantas aku tidak dapat ingat apa-apa lagi yang berlaku disekelilingku. Segala-galanya menjadi hitam dan kelam.
………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………….
                Eh, aku kat mana ni, masjid? Ramainya orang dekat masjid ni? Subhanallah, cantiknya masjid ni, diperbuat daripada Kristal dan disadur dengan mutiara. Sangat indah. Inilah pertama kali dalam hidupku, aku melihat masjid yang sangat indah struktur binaannya. Semua jemaah memakai telekung putih manakala jemaah lelaki memakai jubah warna hijau. Ramainya orang..

                Aku mula masuk ke dalam masjid, tulisan khat yang sangat indah memenuhi ruang dalam masjid. Ruang yang sangat luas, besar dan maha indah. Aku terpukau dengan keindahan masjid tersebut. Aku mula ke satu ruang yang dipenuhi orang, tiba-tiba seorang wanita tua yang bersih wajahnya memberikan aku senaskhah Al-Quran serta senaskhah hadis, aku mula mengambilnya. Subhanallah, Quran itu sangat cantik. Aku tidak pernah melihatnya dijual di mana-mana kedai, betapa aku sangat beruntung pada hari ini kerana melihat peristiwa yang aneh lagi indah. Aku takkan lupakan saat itu. Aku mengangkat kepala untuk mengucapkan terima kasih kepada wanita tua tersebut, namun dia sudah berlalu meninggalkanku. Aku cuba mencari kelibatnya namun tidak jumpa.

                Lantas aku pergi ke suatu sudut masjid tersebut lalu aku membaca Al-Quran. Tiba-tiba ada seseorang yang mendekatiku lantas mengajarku membaca Al-Quran. Subhanallah, suaranya sangat merdu, sayu dan dia menangis sambil membaca Al-Quran. Betapa dia sangat memahami bacaannya. Aku sangat kagum dan berusaha untuk mencontohi sikapnya itu. Wanita itu sangat aneh kerana selepas sahaja mengajarku tadabbur Al-Quran dia berlalu sebelum sempatku memperkenalkan diri dan mengucapkan terima kasih kepadanya.

                Selepas sahaja selesai membaca Al-Quran, aku ingin pulang. Di tangan kananku ada Al-Quran manakala di tangan kiriku ada hadis. Aku satukan di tangan kanan lalu aku keluar dari masjid tersebut. Sepanjang berjalan, tiba-tiba aku melihat ada suatu bangunan yang sangat tinggi dan indah di hadapanku. Namun semua orang berpakaian hitam. Semua lelaki dan perempuan berpakaian hitam. Aku cuba masuk bangunan tersebut untuk melihat apa yang ada dalam bangunan tersebut.

                Setelah berasak-asak, akhirnya aku dapat masuk ke dalam bangunan tersebut. Bangunan itu sangat gelap dan kelam. Aku bagaikan buta kerana cahaya yang ada sangat sedikit. Aku cuba pegang kuat-kuat Al-Quran dan hadis di tanganku. Di tepi pintu utama kelihatan pemuda yang wajahnya sangat hodoh lagi menakutkan. Aku mula takut kenapa aku berada disitu. Aku melihat sekeliling bangunan tersebut dipenuhi tanda salib. Barulah aku sedar yang aku berada dalam gereja apabila aku lihat seorang paderi muncul di bahagian pintu masuk bangunan tersebut. Aku mula menangis. Aku sangat takut. Aku mula berasa bahang berada dalam bangunan tersebut. Aku cuba berjalan perlahan-lahan meninggalkan dewan tersebut. Dalam kesamaran cahaya, aku terlepas Al-Quran dan hadis dari tanganku. Aku cuba bertahan. Peluh mula menitik dari tubuhku sewaktu aku cuba mengambil Al-Quran dan hadis di belakang pemuda yang hodoh di tepi pintu tersebut.

                Aku berjalan terbongkok-bongkok dengan memegang kuat Al-Quran dan hadis tersebut. Aku sangat bernasib baik kerana wanita tua yang berwajah bersih tadi datang membantuku keluar dari bangunan yang sangat gelap tersebut. Tanpa kata, dia menarik tanganku keluar. Aku menangis teresak-esak dan badanku sangat menggigil mengenangkan saat cemas di dalam gereja tersebut. Sekali lagi, wanita itu berlalu tanpa aku sempat mengucapkan terima kasih kepadanya.

                Aku mula berjalan meninggalkan gereja tersebut. Aku berjanji takkan menjejakkan kaki lagi ke sana. Aku mula berpatah balik ke masjid yang sangat indah tadi. Aku mula mengambil wudhu’ dan membaca Al-Quran dan hadis tadi. Aku sangat bersyukur kerana tuhan selamatkan aku sewaktu aku dalam kesulitan tadi. Betapa aku menangis mengenangkan besarnya kekuasaanNya yang telah menyelamatkan aku dari terpesongnya akidahku dari agama kristian. Sambil aku membaca Al-Quran, linangan air mataku tak henti-henti mengalir. Terima kasih Ya Allah kerana telah menyelamatkanku.
.………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………
Sedikit demi sedikit mataku dapat melihat cahaya yang menyilau di sekelilingku, di mana aku berada? Kenapa aku ada kat sini? Kenapa ibuku sedang menangis? Kenapa adik beradikku semua ada kat sini? Benak kepalaku tidak dapat berfikir dengan baik.. Lantas, aku cuba mengangkat tangan tapi lenganku terasa sangat sakit..

                “Emak, Kak Lia dah sedar, dia dah bergerak,”

                “Lia, Lia dah bangun nak, mak sangat risaukan Lia,”

Ibuku menangis teresak-esak di bahu ayahku. Semua mata memandangku dengan pandangan yang suram. Dengan suara yang tersekat-sekat aku cuba bertanya apa yang dah berlaku. Ibuku menceritakan satu persatu apa yang dah berlaku. Bagaimana aku boleh kemalangan. Rupanya orang yang melanggarku adalah Rizal, sekarang dia sedang ditahan oleh pihak polis untuk siasatan. Aku mengucap panjang mendengar berita daripada ibuku. Rupanya Rizal mendekatiku hanyalah sekadar untuk mempergunakan diriku. Dia bertaruh dengan rakannya untuk mendapatkan aku. Dia hanyalah ingin mempermainkan diriku sahaja.

                Setitik demi setitik, mutiara jernih mula mengalir laju dari pipiku. Aku masih beruntung kerana hanya patah kaki dan tidak mengalami kecederaan yang serius. Aku memandang sayu ibu dan bapaku mengenangkan dosa-dosa yang telah aku lakukan pada mereka. Betapa aku terlalu mengagungkan cinta yang tidak halal buatku dan mengenepikan cinta ibu bapa yang kudus lagi suci.

                “Sabarlah Lia, jangan menangis lagi,mak dah ampunkan dosa Lia, anggaplah ini sebagai dugaan buat kita Lia,sabarlah nak,”

Ibuku berusaha untuk memujuk, bibirku masih lesu untuk berkata-kata, masih lemah, ibuku faham apa yang ingin aku sampaikan buat dia dan ayahku. Aku menangis dalam pelukan ibu dan ayahku..

                “Maafkan segala kesalahan Lia mak ayah, ampunkan Lia,”
………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………….
                Sebulan selepas kemalangan tersebut, aku sudah mula berjalan dengan perlahan. Aku sudah dapat menunaikan solatku dengan sempurna tanpa perlu duduk lagi. Aku sangat bersyukur pada Ilahi kerana masih memberi aku kesempatan untuk bertaubat daripada segala dosa dan noda yang pernah aku lakukan. Tiap tiap malam, jika aku ada kelapangan, aku akan menunaikan solat sunat qiamullail, termasuklah solat sunat tahajud, solat hajat serta solat sunat taubat. Hatiku tidak dapat menahan sebak di saat mengadu kepada Yang Maha, betapa kerdilnya diri ini di sisi-Nya.

                “Ya Allah Ya Tuhanku, kau ampunkanlah segala dosa yang telah aku lakukan, dosa kedua ibu bapaku, dosa guru-guruku, dosa sahabatku, dosa muslimin dan muslimat. Kau panjangkanlah usia kami, Kau rahmatilah kami Ya Allah, Lindungilah kami daripada gangguan jin dan syaitan Ya Allah, masukkanlah kami dalam syurgamu Ya Allah. Kau berilah petunjuk dan hidayat kepada kami Ya Allah, serta janganlah kau palingkan hati kami setelah Engkau memberi petunjuk kepada kami. Ya Allah, diri ini hanyalah hamba yang lemah lagi hina, Kau suburkan cinta kami buatMu serta rasulMu. Bimbinglah hati kami ke jalanMu Ya Allah. Berilah kemanisan iman kepada kami Ya Allah. Hanya padaMu kumohon pertolongan Ya Allah. Tingkatkanlah keimanan dan ketakwaan kepada kami Ya Allah. Lapangkanlah hati kami, sucikanlah hati kami serta bersihkanlah jiwa kami Ya Rahman, Ya Rahim, Ya Zaljalali wal ‘ikram. Kau kasihanilah hambaMu ini Ya Allah, Kau kasihanilah hambaMu ini Ya Allah, Kau kasihanilah hambaMu ini Ya Allah.

                Sejak kejadian itu, aku sudah banyak berubah dengan bantuan daripada keluargaku, terutamanya kedua ibu bapaku, sahabatku serta guru-guruku. Aku sudah memaafkan kesalahan Rizal sementelah dia tidak pernah memohon maaf daripadaku. Lebih elok aku berlapang dada berbanding aku menyimpan dendam. Aku sudah mula merasai kemanisan daripada taubatku.
Betapa jalan hidup yang aku pilih selama ini adalah jalan yang terpesong daripada akidah yang dituntut dalam Islam. Aku sangat bersyukur kerana Allah masih memberi aku hidayah untuk kembali ke jalanNya. Terima kasih Ya Allah ke atas keagunagan cinta yang Kau curahkan pada hati ini. Terima kasih juga kerana telah memberi mimpi yang menginsafkan diriku. Tidak sesekali aku lupakan mimpi yang memberi peringatan agar aku kembali ke jalanMu. Terima kasih Ya Allah.

KeredhaanMu – In team
Ya Allah Ya Tuhanku, hambaMu merindukan,
Rahmat kasih sayangmu, dan jua keredhaanMu,
Dalam hidupku..
Meskipun kuulangi dosa noda,
Yang menjanjikan azab sengsara,
Namun kusedari keampunanMu tidak bertepi,
Kuakui diri ini, hamba yang mungkir pada janji-janji,
Jadikanlah taubat kami yang sejati padaMu Ilahi
Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosaku,
Ya Allah, redhakanlah kehidupanku,
Moga terhapus menghijab kalbu,
Antara Kau dan aku..
Tuhan, kuzalimi diri ini..Andai Kau tak ampuni dan rahmati
Alangkah ruginya diri
Tuhan jangan kau palingkan hati ini
Setelah kau beri hidayat, sesungguhnya Kau Maha Pengasih                    
………………………………………………………………Tamat………………………………………………………………………………………
 rekaan semata-mata, sekadar renungan bersama - cerpen untuk kemanisan taubat anjuran SMF Fakulti Perakaunan 2010